Mujaddid Kurun Ke-11: Al-Imam Al-Habib 'Abdullah bin 'Alwi bin Muhammad al-Haddad
InsyaAllah, malam ini bermulalah siri sambutan Haul ke-300, al-Imam al-Habib 'Abdullah bin 'Alwi bin Muhammad al-Haddad رضي الله عنه
Ketahuilah, menurut sebahagian ulama beliau adalah merupakan seorang Mujaddid Kurun Ke-11. Hal ini disebut oleh Mufti Hadhramaut, al-Habib 'Abdur Rahman bin Muhammad bin Husain bin 'Umar al-Masyhur Ba'Alawi dalam Ghaayatu Talkhish al-Muraad min Fatawa Ibni Ziyaad yang menyatakan bahawa Imam a-Haddad رضي الله عنه adalah merupakan mujaddid kurun ke-11H.
Pada halaman 299 (yang dicetak diakhir kitab Bughyatul Mustarsyidin), beliau menyatakan:
[Masalah] Hadits "Bahawasanya Allah akan membangkitkan buat umat ini pada awal setiap 100 tahun orang yang akan memperbaharui (mentajdidkan) agama umat ini (yakni yang akan memperbaharui pegangan dan keyakinan umat terhadap agama mereka)," dikeluarkan hadits ini oleh Imam Abu Dawud dan Imam al-Hakim dan selain kedua mereka. Dan dalam lafaz lain dinyatakan "Pada setiap 100 tahun seorang lelaki daripada ahli baitku," sebagaimana dinyatakan oleh Imam Ahmad. Berkata Imam as-Sayuthi, hadits ini adalah masyhur dengan diriwayatkan oleh para huffadz yang muktabar. Maka mujaddid bagi:-
- Kurun pertama: Sayyidina 'Umar bin 'Abdul 'Aziz;
- Kurun ke-2: Imam Muhammad bin Idris asy-Syafi`i;
- Kurun ke-3: Ibnu Suraij atau (Imam Abu Hasan) al-Asy'ari;
- Kurun ke-4: ash-Sha'luki atau Abu Hamid al-Isfaraini atau Qadhi Abu Bakar al-Baaqilani;
- Kurun ke-5: Imam al-Ghazali tanpa ada khilaf;
- Kurun ke-6: al-Fakhrur Razi atau ar-Rifaa`i;
- Kurun ke-7: Ibnu Daqiiqil 'Eid;
- Kurun ke-8: al-Bulqini dan Zainuddin al-'Iraqi atau Ibnu Bintil Mailaq;
- Kurun ke-9: Syaikh Zakaria al-Anshari sebagaimana dinyatakan oleh guru kami ath-Thanbadaawi dan adalah Imam asy-Sayuthi telah menisbahkan tajdid kepada dirinya (yakni menyatakan dirinya sebagai mujaddid), dan tiada syak bahawa Syaikh Zakaria lebih memberi manfaat (buat umat) dan lebih masyhur, maka dialah mujaddid ke-9 ini, insya-Allah;
- Kurun ke-10: yang aku jumpa daripada keterangan para masyaikh bahawa mujaddid kurun ini ialah Syaikh Ahmad bin Hajar al-Haitami atau Imam Muhammad ar-Ramli, dan dirajihkan oleh sebahagian ulama bahawa mujaddidnya ialah Imam Muhammad ar-Ramli kerana Imam Ibnu Hajar meninggal sebelum berlalu kurun (yakni Imam Ibnu Hajar meninggal di akhir kurun dan tidak bertemu dengan awal kurun yang baru);
- Kurun ke-11: Sayyidinal Quthub 'Abdullah bin 'Alawi al-Haddad 'Alawi;
- Kurun ke-12: al-Quthub Ahmad bin 'Umar bin Sumaith Alawi.
Antara nasihat atau pesanan beliau untuk generasi selepas beliau, adalah supaya berpegang kepada mazhab al-Imam Abu Hasan al-Asy'ari di dalam aqidah. Al-Imam al-Haddad menyebut di dalam himpunan sya'ir beliau yang dikenali sebagai Diwan al-Imam al-Haddad atau ad-Durr al-Mandzum li Dzawi al-'Uquul wa al-Fuhuum:
Jika kau ingin hidup bahagia sepanjang umurmu dan setelah mati, kuburmu dijadikan taman syurga;
Dan engkau dibangkitkan tatkala tiupan sangkakala dalam keadaan aman dari rasa takut, terancam, terusir dan dari kerugian;
Dan dihadapkan (kepada Allah) dalam kemuliaan dan keagungan, diberi khabar gembira oleh para malaikat dengan kejayaan dan ganjaran pahala;
Dan diberatkan timbangan amalanmu dengan amalan-amalan yang menggembirakan engkau di Padang Mahsyar;
Dan engkau melintasi sepantas kilat titian ash-Shirath, serta meneguk minuman dari telaga Nabi al-Mushtofa yang suci;
Dan hidup kekal dalam syurga-syurga yang tinggi penuh keni'matan, mendapat bahagian untuk dekat dengan Tuhan yang Satu, Maha Esa dan Tunggal;
Dan engkau melihatNya dengan matamu dalam keadaan Dia Maha Suci dari bertempat, dari kaifiyyat, dari had dan batasan;
Maka perelokkan keyakinanmu, kerana sesungguhnya apabila keyakinan telah sempurna, yang ghaib akan nampak nyata tanpa diengkari;
Dan jadikanlah Asy'ariyyah sebagai pegangan i'tiqadmu, kerana sesungguhnya ia adalah sumber minuman yang suci bersih dari penyimpangan dan kekufuran;
Dan telah menyusun Quthubul Imam sandaran kita, 'aqidahnya yang merupakan penawar bagi segala marabahaya;
Dan orang yang kumaksudkan dengannya itu ialah satu-satunya yang disifatkan dengan gelaran Hujjatul Islam (yakni Imam al-Ghazali رحمه الله ), maka sudah sepatutnya engkau berasa bangga.
Jom kita hadiri majis haul beliau yang ke-300. InsyaAllah, akan beroleh pelbagai manfaat zahir dan bathin.